Dalam Setiap Kita III

Dalam setiap kita
ada penglipur lara
pandai bercerita
kadangkala tergeletek orang sekampung
sampai tertitis air mata
geli hati pecah perut
mengenakan orang lain
tidak kurang penuh sinis
dalam makna pelbagai warna tafsiran
tidak kira betul atau tidak
asalkan menghibur dan terhibur
jangan tidak-tidak
kerana malam pantang dibiarkan sepi
berwajah muram dan merangkak perlahan
dalam setiap kita
ada anak kecil
yang terlalu manja dan nakal
merengek minta itu dan ini
jika tak dipenuhi hasrat terbenih dendam
melontar mainan menghentak-hentak kaki
sudahnya terbaring di lantai
pedulikan suara serak
asalkan yang itu dan ini
tidak lagi kosong di hati
dalam setiap kita
ada pesakit otak
yang lupa makan ubat
lalu merayau dan meracau
buat kacau
sudahnya diri sendiri dipantau
duduklah sendirian bagai orang dipulau
dalam setiap kita
ada-ada saja yang bersarang
terlalu banyak dan sibuk untuk dilayan
hingga lupa menjadi manusia sempurna
bertindak wajar
bersikap waras.

0 komentar:

Posting Komentar

z

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Blog Lima Themes | Bloggerized by Lasantha - Kelas Lima Esde | Blogger Templates