Sajak Cinta Melayu Melayu Baru

Kami akan terbang juga
sekalipun terpatah sayap
sebuah lentera masih bernyala
di kamar jiwa
terbangun harapan
hangat dengan bahang cita-cita
yang tak pernah padam
kami akan bangun juga
sekalipun jatuh terluka
air semangat masih mengalir
di sungai urat nadi
tertumbuh kasih sejati
deras dengan arus perjuangan
yang tak pernah tergenjot
kami akan teruskan juga perjalanan ini
sekalipun amat menjenuhkan
segugus cinta luhur terus terbenih
di taman kehidupan
membentuk bunga-bunga fikir
menjenguk masa depan
selepas musim panjang merentas lautan
kami akan terus menikam mata
di tengah hari
mencari sejalur purnama
sambil terpercik cahaya bintang
di malam hari
mengusir derai tawa yang palsu
menyemai kebenaran dalam warna seribu makna
tidak sesekali menadah harap sinar
pada bulan yang tersorok di balik awan
atau menimba air rindu
pada telaga rahsia yang amat dalam
kerana kami bukan insan terpinggir
di jalanan waktu
pengalaman telah banyak mengajar
hidup bukan sekadar makan dan minum
atau mimpi yang mengikat diri
makna kejayaan perlu dilontar
ke bumi yang makmur
kerana tiada jalan yang akan dibuka
kepada sesiapa yang bingung termenung
kami akan terus mendukung semua keupayaan
sambil mengutip kasih Tuhan yang bertebaran
mengulit menjadi permata
percikannya berbicara pada padang yang sama
demi agama, bangsa dan negara
yang tercinta.

0 komentar:

Posting Komentar

z

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Blog Lima Themes | Bloggerized by Lasantha - Kelas Lima Esde | Blogger Templates