Ikrar

Ini watan kita
yang mesti dibela
oleh setiap yang bergelar warga
tidak kira apa bangsa dan agama
dalam merumahkan setia
kibarkan bendera tercinta
kerana ada bunga kasih berkembang
tertebar harum di balik warna
dalam makna
di sini
di bumi bertuah ini
jangan tergeliat lidah
mencipta sejarah luka
juga jangan sesekali kita rebah
terperlus ke dalam lumpur keganasan
menegakkan benang basah
cuba menjadi jebat
yang kaya dengan dendam kesumat
hilang arah kerana ada luka yang tercabar
ada duka yang tersebar
ada kemanusiaan yang terbakar
ada persaudaraan yang tercemar
sungai suasana kian keruh
kerana keliru dengan buruan sendiri
sampai nafsu berkecai di tasik iman
dilanda taufan perasaan bertindih hasutan
pantang kita derhaka
pada tanah air merdeka
yang telah dibina dengan
keringat dan air mata
melaknati perit jerih nenek moyang
yang doanya tak pernah tumbang
demi maruah terbilang
ini watan kita
yang mesti dibela
tegakkan ikrar tepatilah janji
sebelum terletak nama dan wajah lesu
di akhbar pagi
berulit setia
hapuskan bara sengketa
padamkan api petualang perosak bangsa
robekkan topeng-topeng serigala
yang sentiasa tak terkawal
nafsu derhaka
mencipta huru hara
yang tak pernah direlakan ketersasarannya
ini negara kita
rumah kita bumi kita
yang mesti dibela
suara perpaduan mengimbau
sampai ke puncak awan
lalu menjadi kawan
menolak keresahan dan kedurjanaan
terpancang ikrar yang terpahat kukuh di dada
selagi berdenyutnya nadi
hingga ke hujung usia.

0 komentar:

Posting Komentar

z

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Blog Lima Themes | Bloggerized by Lasantha - Kelas Lima Esde | Blogger Templates